Friday, January 11, 2013

Sakit Perut Ketika Haid.


*sebelum berkongsi, ros nak kongsikan satu cerita tentang murid Tahun 6 di sekolah ros, bila tiba part nak baca Al-Quran / Surah dalam buku Pendidikan Islam tu, ada sahaja alasan murid perempuan..siap tak malu cakap: Ustazah, saya cakap awal-awal, saya tak boleh baca sebab..sebab..ala, ustaazah tahu kan..? dah lah semua murid lelaki pandang dia..darjah 6 kan? mesti lah semua makruf apa itu maksid HAID..ros pulak yang segan tiba-tiba, terus tegur..kalau kamu nak cakap boleh, tapi biarlah yang perempuan dan antara kamu sahaja yang tahu..jangan jadi KEPOCHI bagitahu semua orang dalam kelassss! haishhh! 

iklan tamat..:) 
......................

Sakit perut ketika kedatangan haid adalah satu simptom yang lazim dikemukakan kepada pakar sakit puan. Sakit perut ketika haid ini dikenali sebagai senggugut ataupun terminologi perubatannya ialah "dysmenorrhoea".

Senggugut boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama dipanggil senggugut primer (primary dysmenorrhoea) dan jenis kedua senggugut sekunder (secondary dysmenorrhoea).

Senggugut primer berlaku apabila kesakitan dialami tidak disebabkan oleh penyakit di pelvis seperti adanya jangkitan kuman.

Senggugut jenis ini lazimnya berkait rapat dengan proses ovulasi yang berlaku pada kitaran haid berkenaan. Senggugut ini memang biasa (23 hingga 25 peratus) melanda remaja seperti adik.

Kesakitan senggugut ini berlaku hanya untuk satu atau dua hari saja sewaktu pendarahan haid. Lazimnya kesakitan ini boleh dikawal dengan mengambil ubat penahan sakit seperti paracetamol.

Kesakitan senggugut primer ini disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin daripada dinding rahim secara berlebihan. Prostaglandin akan menyebabkan pengecutan otot rahim berlaku dengan lebih kuat.

Seseorang wanita perlu memahami punca kesakitan senggugut primer ini untuk mengelakkannya daripada berasa susah hati dan berfikiran bukan-bukan.

Oleh sebab kesakitan kuat yang dialami, ada wanita memikirkan bahawa dia diserang penyakit yang serius dan seterusnya akan menyebabkan kesukaran hamil. Dengan mengetahui puncanya, rawatan dapat diberikan dengan lebih berkesan.

Kadangkala dengan kefahaman ini juga, rawatan minda tanpa ubat-ubatan sudah cukup untuk memberikan kesan yang baik.

Jika kesakitan berlaku terlalu teruk sehinggakan mengganggu kerja harian seperti terpaksa bercuti daripada ke sekolah atau berkerja, rawatan dengan ubat-ubatan perlulah diberikan supaya perjalanan hidup harian boleh berlaku seperti biasa walaupun dengan kedatangan haid.

Penggunaan pil perancang boleh mengelakkan kesakitan senggugut kerana pil ini akan menghalang proses ovulasi. Lazimnya rawatan jenis ini akan diberikan kepada wanita yang lebih tua dengan kemungkinan pada masa yang sama mereka memerlukan kaedah untuk menjarak kelahiran anak.

Lazimnya, rawatan kepada remaja seperti adik adalah melalui ubat-ubatan untuk menahan kesakitan ketika kedatangan haid saja. Kumpulan ubat-ubatan yang diberikan adalah daripada kumpulan (NSAIDS).

Keberkesanan ubat-ubatan jenis ini adalah mencapai 80 peratus. Kejayaan ini diperoleh kerana ubat-ubatan jenis ini menghalang pengeluaran prostagladin daripada dinding rahim. Oleh itu, pengambilan ubat ini perlulah dilakukan sebaik saja pendarahan haid bermula ataupun apabila mula terasa sakit.

Sakit gastrik adalah salah satu kesan sampingan daripada rawatan menggunakan ubat-ubatan ini yang lazim berlaku.

Jika rawatan di atas gagal untuk merawat kesakitan senggugut, besar kemungkinan kesakitan itu bukan disebabkan oleh senggugut primer.

Bagaimanapun, kesakitan mungkin disebabkan senggugut sekunder yang timbul daripada masalah penyakit pelvis. Oleh itu, siasatan perlu dilakukan untuk mengenal pasti penyakit itu dan rawatan yang tepat untuk penyakit perlu diberikan.

Sehubungan itu, adik perlu berjumpa doktor dan memberitahu mengenai masalah dialami dan jangan malu untuk memberitahu orang dewasa seperti ibu adik.

Pertolongan dapat diberikan apabila masalah ini dibincangkan dengan orang dewasa atau doktor. Remaja tidak perlu menderita menanggung kesakitan kerana malu untuk menceritakan masalahnya kepada orang dewasa.
Sumber Dari : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih!