Tuesday, August 28, 2012

Perjalanan 3 Solehah

TENTU penonton masih mengingati program realiti pertama terbitan TV AlHijrah, Solehah, yang bermatlamat membangunkan ummah dengan pencarian pendakwah wanita yang mampu menjadi ikon muslimah pada masa kini.
Ketika program itu berlangsung, pada setiap minggu peserta Solehah diuji dengan pelbagai tugasan bagi melatih keupayaan mereka merungkai masalah ummah melalui lontaran idea yang bernas serta kepetahan dalam menyampaikan sesuatu ilmu. Mereka juga berkebolehan mendekati masyarakat dalam mempromosikan dakwah yang segar dan santai kepada masyarakat.
Justeru dengan kejayaan program itu, TV AlHijrah menerbitkan program susulan bagi meneruskan perjalanan dakwah personaliti Solehah yang dinamakan Perjalanan 3 Solehah.

Ia akan bersiaran mulai 28 Mei ini, setiap Isnin, jam 9 malam. Program 3 Solehah dikendalikan finalis Solehah iaitu Amie Sofia Ahmad, Nurul Eswani Syafazlin dan Wan Nor Mazuani. Mereka bertiga dipilih kerana dilihat mampu mengete–ngahkan kekuatan masing-masing dalam menjadi pengembara Solehah bagi menyampaikan mesej dakwah secara santai dan berkesan.



Program berbentuk travelog dakwah yang bersiaran selama 30 minit ini bakal membawa penonton menyingkap sejarah silam ulama Islam tanah air yang juga dikenali sebagai Tujuh Wali Melayu seperti As Sayid Habib Nuh, Tuan Hussein Kedah Al Banjari, Asy Syeikh Muhammad Said Al Linggi dan Tuk Kenali di samping mengenal salah silah peribadi ulama terulung tempatan. Ia memfokuskan kepada penekanan konsep dakwah bil hikmah, kebajikan sesama masyarakat, pelancongan dan juga merung–kai sejarah ulama terkemuka. Travelog kembara dakwah ini mendapat sentuhan dan idea daripada penerbit, Tengku Muhammad Ismail Tengku Ibrahim.


Pengembara Solehah juga akan ke tempat pelancongan menarik termasuk ke Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk memperkenalkan tradisi adat serta budaya masyarakat di sesuatu tempat melalui jenis makanan serta adat yang diamalkan berlandaskan syariat Islam.

Pengembara solehah akan bersama-sama menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk kampung menjalankan program seperti majlis Maulidur Rasul, tahlil, kenduri, serta aktiviti gotong-royong bersama penduduk setempat dan memahami perbezaan budaya masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Penonton juga berpeluang mengikuti pengalaman kembara bersama personaliti Solehah ke Makkah dan Madinah.


artikel dari myMetro
oleh: Nor Akmar Samudin